Jerman atau Sepanyol?

Final Euro 2008: Jerman atau Sepanyol?

KEBIJAKSANAAN pemain tengah akan menjadi penentu pasukan mana yang bakal menjulang gelaran Euro 2008.

Demikian ramalan peminat tempatan terhadap perlawanan akhir Euro 2008 awal pagi esok yang bakal menemukan Jerman dan Sepanyol.

Dengan perkembangan terbaru kapten Jerman, Michael Ballack yang mengalami kecederaan, pemain yang menjadi tumpuan sudah pasti terarah kepada kelibat bintang tengah kreatif Sepanyol, Cesc Fabregas.


Jadual perlawanan Euro 2008
Fabregas begitu efektif apabila masuk daripada bangku simpanan untuk majoriti laluan Sepanyol ke final tetapi kesan ketaranya sebagai gantian pada babak pertama untuk penyerang, David Villa ketika menang 3-0 ke atas Russia, Khamis lalu, memperkukuh kemungkinan dia bakal disaksikan dalam kesebelasan utama.

Jika rakan segandingan biasa Ballack, Torsten Frings serta Thomas Hitzlsperger mampu menampilkan diri dan mengambil alih tampuk penguasaan bahagian tengah, peluang Jerman untuk menjulang gelaran keempat adalah cerah.

Tetapi jika Fabregas, Xavi Hernandez, Andres Iniesta dan yang lainnya mampu mengumpan dan melepasi kekangan lawan lebih kental itu, Sepanyol pastinya mampu menamatkan penantian 44 tahun untuk mendakap piala paling berprestij di Eropah itu.

Pada beberapa perlawanan sebelum ini, Fabregas lebih banyak berada di bangku simpanan tetapi dia akan diturunkan sebaik separuh masa kedua bermula.

Namun selepas dia dimasukkan pada separuh masa pertama bagi menggantikan David Villa pada perlawanan menentang Rusia, dia dilihat cukup berpengaruh serta banyak membuka ruang kepada rakannya untuk menghasilkan jaringan.

Menyedari kemampuannya, jurulatih Sepanyol, Luis Aragones bakal menyenaraikannya dalam kesebelasan utama pada pertemuan menentang Jerman awal pagi esok.

Dia adalah pilihan pertama Aragones untuk menggantikan Villa yang dilaporkan masih mengalami kecederaan.

Sepanyol, bakal beraksi pada final sulung sejak 1984 dan memburu hanya piala kedua selepas kejayaan Euro 1964 di negara sendiri, mengakui cabaran menanti tetapi keyakinan kini membuak-buak selepas akhirnya menamatkan badi kecewa di peringkat suku akhir.

“Jerman adalah Jerman dan mereka tampak menang menentang sesiapa sahaja yang mereka hadapi,” kata jurulatih Sepanyol, Luis Aragones.

“Tetapi amat sukar untuk mana-mana pasukan menentang kami, terutama jika kami meningkatkan kepantasan dalam corak persembahan.”

Kedua-dua pasukan dijangka menurunkan hanya seorang penyerang - Fernando Torres untuk Sepanyol dan Miroslav Klose buat Jerman - sekali gus menambahkan tanggungjawab tambahan kepada pemain tengah.

Kombinasi sayap, Bastian Schweinsteiger dan Lukas Podolski, dengan lima gol antara mereka, tampak berbisa, sama ada sebagai pencipta ataupun penghasil jaringan.

Posisi sama buat Sepanyol juga menemui rentak baru, terutama selepas babak pertama sebaik Villa dikeluarkan, dengan persembahan lebih efektif dipamerkan lima pemain tengah mereka.

Jurulatih Jerman, Joachim Loew menyatakan, perlawanan akhir ini bakal menjadi pertarungan yang cukup sengit.

“Saya jangka sengit kerana Sepanyol adalah pasukan paling menonjol kebelakangan ini.

“Laluan mereka ke perlawanan akhir cukup cemerlang kerana tidak mencatat sebarang kekalahan pada saingan kali ini sejak pada peringkat awal lagi.

“Namun, kami akan tampil dengan semangat serta mentaliti untuk menang,” kata Leow.

Misi Jerman kali ini adalah untuk memburu gelaran keempat mereka pada kejohanan Piala Eropah.

Jika Sepanyol dapat mengekalkan rentak seperti mana yang dipamerkan ketika menewaskan Rusia pada aksi separuh akhir lalu, mereka boleh menghadirkan bahaya kepada Jerman.

Penjaga gol mereka Iker Casillas juga nampak kental selain kekebalan Carlos Puyol yang bertindak sebagai pertahanan terakhir.

Apa pun, watak pemain tengah tetap menjadi senjata bagi kedua-dua pasukan pada perlawanan ini.

Andai kedua-dua pasukan menonjolkan keberkesanan mengawal bahagian tengah, ada kemungkinan perlawanan ini akan berlarutan sehingga ke masa tambahan.

Tetapi jika penjaga gol Jerman, Jens Lehman tidak berada pada tahap terbaik, mereka akan dihukum oleh keampuhan jentera penggempur Sepanyol.

Barisan kemungkinan Sepanyol:

Penjaga gol: Iker Casillas.

Pertahanan: Carlos Puyol, Carlos Marchena, Sergio Ramos, Joan Capdevila.

Tengah: Xavi Hernandez, Cesc Fabregas, Andres Iniesta, Marcos Senna, David Silva.

Penyerang: Fernando Torres.

Barisan kemungkinan Jerman:

Penjaga gol: Jens Lehmann.

Pertahanan
: Per Mertesacker, Christoph Metzelder, Arne Friedrich, Philipp Lahm.

Tengah: Lukas Podolski, Thomas Hitzlsperger, Torsten Frings, Michael Ballack, Bastian Schweinsteiger.

Penyerang: Miroslav Klose.

Posted June 29th, 2008 by admin This entry was posted on Sunday, June 29th, 2008 at 12:56 pm and is filed under Final Euro 2008, EURO 2008, Preview. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

page counter