SELEPAS merangkul gelaran juara Euro 2008, skuad Sepanyol mendapat satu lagi anugerah apabila pemain tengahnya, Xavi Hernandez dipilih sebagai pemain terbaik Euro 2008.
Pada kempen tersebut, pemain berusia 28 tahun itu beraksi lima daripada enam perlawanan yang diharungi Sepanyol sebelum merangkul kejuaraan semalam.
Pemilihan Xavi sebagai pemain terbaik Euro 2008 telah diputuskan panel Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) yang terdiri daripada sembilan bekas jurulatih berpengalaman sepanjang tiga minggu kejohanan ini berlangsung.
“Xavi begitu mengagumkan baik dari segi kawalan, hantaran bola selain menjadi tunjang Sepanyol,” jelas Andy Roxburgh, bekas jurulatih Scotland yang juga ketua Unit Teknikal UEFA semalam.
Roxburgh menambah, bintang Portugal, Cristiano Ronaldo yang disebut-sebut bakal mencuri tumpuan pada kempen kali ini tidak dipilih kerana dia dilihat gagal menampilkan rentak terbaiknya.














Leave a Reply